Tuesday, January 11, 2011

♥ ♥ BUKAN PADA PAKAIAN SEMATA-MATA ♥ ♥

  1. Pada seri seorang wanita itu, yang dipandang adalah pada zahirnya terlebih dahulu. Begitulah selalunya pentafsiran dan pandangan seorang manusia. Jika baik luarannya, baik juga dalamannya. Ya, itu adalah prinsip yang tepat dalam penilaian manusia. Kita bukan Tuhan yang mampu menghukum mana-mana manusia sebagai baik atau buruk. Apa yang dipandang itulah yang ditafsirkan.    


Pakaian. Ia adalah penilaian yang paling mudah untuk dinilai. Tetapi ia bukanlah tafsiran 100% untuk mengatakan seorang itu baik.

Dalam membincangkan soal akhlak, ia tidak tertumpu semata-mata kepada aspek pemakaian sahaja, jauh dari sudut itu adalah soal ‘nilai tambah’ yang membolehkan seseorang itu menjadi muslimat yang mempunyai ciri-ciri kemuslimatannya dan jua menjadikan dia lebih istimewa. Tudung sahaja belum memadai jika tingkah-lakunya masih persis ‘wanita murahan’. Menutup aurat juga tidak bererti jika tutur katanya tidak ‘ditutup’ dan dijagai rapi.

Menutup aurat dan berpakaian dengan baik mengikut garis pandu agama adalah soal hukum sahaja.

Pakaian mungkin menjadi simbolik kepada akhlak luaran yang boleh dipamerkan. Namun, di sebalik itu ada pakaian yang lebih hakiki yang akan menggambarkan imej muslimah yang sebenar iaitu pakaian akhlak.

Kerana itulah, apabila Rasul saw menceritakan kepada para sahabatnya tentang perihal wanita yang solehah, baginda akan menggambarkan bagaimana akhlak yang harus dimiliki tanpa mengkhususkan bahawa pakaian itulah adalah tafsiran menyeluruh kepada makna sebenar akhlak. Pakaian hanya bersangkutan dalam soal hukum-hakam, bagi yang telah menutup auratnya dengan sempurna sudah dikira terlepas daripada kewajipan hukum.

Tinggal lagi, bagaimana seseorang itu menjadi cantik dengan hukum yang diamalkan seiring akhlak baik yang dimiliki.

Bukankah lebih indah, jika prinsip hukum itu digabung-jalinkan dengan kecantikkan akhlak?

Namun, mutakhir ini dunia kian terbalik. Pakaiannya lebih cantik mengalahkan akhlaknya yang kurang cantik. Pakaiannya mampu dibeli dengan harga yang sangat mahal, tetapi akhlaknya terlalu murah harganya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil, tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik.  




Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.